Total Pageviews

Friday 23 November 2012

ISU HALAL

Sejak belum merdeka lagi, jika ia berkait isu makanan, maka ianya sangat sensitif. Orang Islam kebanyakannya akan mencari orang Islam juga yang menyediakan makanan. Demikian juga dalam soal membeli haiwan sembelih, mereka akan melihat siapa penyembelih dan penjualnya. Itu merupakan kriteria utama sebelum kriteria lain
       
Dalam keadaan demikian, apabila kita membicarakan tentang bisnes atau produk pemakanan, maka orang Islamlah yang menguasainya. Orang bukan Islampun boleh membelinya kerana perkara dan syarat-syarat di dalam agama Islam tidak menghalang mereka daripada melanggan, membeli ataupun menggunanya.
  
Justeru, dalam bidang pemakanan, ekonomi orang Melayu terbukti kuat dan utuh. Ini adalah kerana orang Melayu dan Islam sendiri yang memberi keutamaan dalam melanggan dan membelinya untuk kegunaan, di samping yakin ianya adalah halal.

Hari ini, apabila orang kita berniaga produk makanan, terutama yang perlu dibungkus, ditinkan dan yang tahan lama (sudah tentu termasuk restoran juga), apa lagi untuk pasaran yang lebih luas, pelanggan dari kalangan kita sendiri mulai mempersoalkan.

Di mana logo halalnya? Benarkah barangan keluaran muslim ini halal? Begitu banyak persoalan dikemukakan terhadap keluaran orang Islam atau bumiputera walaupun sebelum isu logo ini direka dan dikomoditikan, barangan muslim tidak bermasalah untuk dipasarkan.

Bahkan dalam satu diskusi dengan beberapa peniaga kecil, ramai pula yang berpendapat bahawa sekarang industri ini sudah jauh diterobos oleh orang bukan Islam. Katanya, kita hanya juara dalam mengeluarkan logo, tetapi yang banyak menikmati manfaatnya bukan orang kita, juga bukan peniaga dan industri kecil.

Dalam keadaan kita mengeluar dan menghantar produk yang berlogo halal ke luar negara, pada masa sama juga segelintir pengeluar produk ini menguasai pasaran tempatan yang dulunya dikuasai oleh orang-orang Islam.

Hal ini berlaku khususnya apabila kebergantungan mendapatkan bekalan isirumah tertumpu ke pasaraya dan hipermarket. Demikian diberitakan oleh seorang teman yang mulai akhir-akhir ini lebih suka membeli barangan keluaran koperasi muslim.

Walaupun berita ingin mempercepatkan proses mengeluarkan halal yang disampaikan semalam (laporan Berita Harian) baik, namun ianya tidak mencukupi.

Rentetan dari itu, kita sekali lagi menyeru supaya pihak berkenaan mempermudahkan pengeluaran sijil halal, kurangkan karenah birokrasi dan utamakan orang Islam dalam pemberian sijil halal.

Ramai rakan-rakan juga menyarankan agar GMP itu tidak menjadi syarat utama ataupun, JAKIM harus membuat kategori sijil halal, iaitu untuk syarikat GMP dan juga bukan GMP.

Demikian juga penggunaan sistem online tidak harus menjadi syarat utama dan wajib. Cara manual juga harus diteruskan bagi memudahkan sebahagian peniaga yang sukar akses menerusi online. Jika tidak, sebahagian lagi masyarakat peniaga yang tercicir.

Kita semua percaya, kalau sekadar ingin mempercepatkan proses pengeluaran logo halal, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Ia tidak akan membantu peniaga dan pemilik industri kecil (demikian juga restoran-restoran) yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan Islam.

No comments:

Post a Comment