Total Pageviews

Friday 23 November 2012

DILEMA HALAL AMONG PKS/IKS

Meskipun baru saja membicarakan isu, nampaknya isu ini berbangkit-bangkit tak kesudahan.
 
  Baru saja dua hari yang lalu, seorang pelanggan bertanya kepada seorang jurujual produk, "Mana logo halalnya?" Terpinga-pinga jurujual itu untuk menjawabnya. Yang dia tahu, produknya dibuat oleh seorang muslim, bahan-bahannya juga tidak masuk dalam kategori haram (sekadar tepung dan gula sahaja), tetapi bila dibungkus dan nak dijual, itu pula masalahnya.

  Mengapa produk muslim yang selama ini terjamin dari segi bersih, elok buatannya, tiada unsur-unsur meragukan, tiba-tiba dipersoalkan hanya kerana tiada logo "Halal". Apakah kini, logonya yang menentukan halal haram, ataukah bahan-bahan dan cara-cara buatannya? 

  Inilah polemik yang tidak berkesudahan selepas pengenalan logo halal dan dipopularkan oleh pihak berkenaan kepada orang luar. Tidak kurang banyaknya ialah penyalahgunaan logo halal di premis dan pengeluar bukan Islam dalam produk yang dikeluarkan.

  Sementara peniaga Melayu, baik pengeluar IKS (Industri Kecil Sederhana) maupun Syarikat persendirian ataupun penjual kuih yang sekadar mendapat lesen perniagaan dan lesen Majlis Daerah berada dalam dilema kerana barangan yang selama ini dijual dengan mudah tetapi kini dipersoalkan pula oleh orang yang bermata "Logo Halal".

  Semalam konsultan kami baru selesai berborak dengan tiga daripada empat penyanyi kumpulan nasyid popular tanah air. Ahli kumpulan Mestica itu banyak membicarakan tentang peranan kumpulan nasyid dalam menyampaikan dakwah.

  Apabila membicarakan mengenai logo halal, merekapun turut menyatakan rasa kecewa terhadap natijah pengenalan logo halal. Ini adalah kerana pelaksanaannya tidak mengutamakan orang Islam dan tidak dipermudahkan.

Tidakkah di dalam surah Al-Insyirah, Allah s.w.t. menyatakan supaya kita "mempermudahkan dan jangan menyusahkan."?
 
"Setahu saya, orang yang menyarankan supaya diletakkan syarat agar kilang yang memohon sijil halal itu mesti mempunyai sijil GMP terlebih dahulu juga bukannya datang daripada orang Islam."

  Mendengar keterangan itu, kami menjadi lagi hairan dan aneh. Mengapa tidak? Kan yang mengeluarkan sijil halal itu JAKIM. Jadi mengapa urusan pengeluaran itu diperketatkan? Kalau ia diperketatkan kepada pengeluar atau pengusaha bukan Islam tentulah munasabah. Tetapi mengapa orang-orang Islam menjadi mangsanya?

  Hari ini pula, kami telah melawat sebuah perusahaan pengeluaran kerepek di sebuah perkampungan di Banting. Perusahaan Kerepek Tradisional itu diusahakan oleh Puan Hajah Yaumi bt Parijan.
  Bahagian kilang dan pembungkusan di Perusahaan Kerepek Tradisional, Labohan Dagang.
Haji Sadeli sedang meluahkan rasa kecewanya dengan peraturan-peraturan JAKIM yang menyusahkan peniaga kecil-kecilan Islam sendiri.
 
  Di sini, isu yang sama dibangkitkan. Kata suaminya, Tn Hj Sadeli, ada pelanggan yang suka sangat bertanya mengenai logo halal keluarannya. Sebelum logo ini dijaja oleh pihak berkenaan, tiada orang persoalkan kehalalannya, tetapi bila logo halal diperkenalkan, ia menjadi masalah pula.

  "Apakah gula, garam dan kerepek juga hendak dipersoalkan tentang halalnya?" soalnya dengan nada tidak puas hati.

  Sambil itu beliau memberi air minuman keluarannya yang ada tiga logo, tetapi logo Halal dan GMP sahaja yang tak ada. Konsultan lami minum air itu dan memangnya ia lazat, sihat dan memuaskan.

  Kata kami, " Saya yakin produk tuan ini halal. Saya harap semua orang berfikiran seperti saya. Dan kita sama-sama harus memilihnya sekalipun tiada logo halal."

 "Inilah cara terbaik kita bantu rakan niaga kita. Jika kita kenal siapa saudara Islam kita, kita tahu barang apa halal dan haram dan bila kita tahu ia diproseskan mengikut cara yang betul dan pemiliknya orang Islam, mengapa kita harus meraguinya lagi?"
  
 Keduanya berkongsi pandangan mengenai isu logo di samping cuba melihat cara terbaik bagi menyedarkan masyarakat kita yang sudah jadi "fobia terhadap logo", sedang di pasaraya hampir 90% produk yang dipasarkan yang berlogo halal bukannya milik pengusaha muslim.

  Kami turut menyarankan supaya beliau membincangkan perkara ini dalam kesatuan peniaga-peniaga Muslim. Saranan harus dikemukakan kepada badan berkenaan yang selama ini terlepas pandang atau cuai dalam membela nasib peniaga Islam.

  Pihak yang berkenaan harus mempunyai prosedur yang lebih baik supaya logo halal itu bukan menjadi logo keistimewaan pengusaha jutawan semata-mata.

  Mereka harus memikirkan kembali kriteria pemberian logo dan jenis-jenis logo. Mungkin ada logo halal buat kilang GMP, ada logo halal untuk kilang tanpa GMP dan harus ada juga logo halal untuk pengusaha muslim biasa.

  Kami juga menyarankan supaya suara-suara tuntutan dibuat seperti kesatuan CUEPACS, yang mana dengan cara rundingan dengan pihak berkenaan CUEPACS telah berjaya membawa Perdana Menteri sendiri turun padang dan meluluskan tuntutan mereka.

  Kami percaya logo "Halal" ini tidak wajar dijadikan sebagai suatu komoditi bagi pihak berkenaan memperoleh wang ataupun dikenali orang. Jenama dan wang ringgit tidak harus menjadi matlamat pihak berkenaan.

No comments:

Post a Comment