Sejak belum merdeka lagi, jika ia
berkait isu makanan, maka ianya sangat sensitif. Orang Islam kebanyakannya
akan mencari orang Islam juga yang menyediakan makanan. Demikian juga dalam
soal membeli haiwan sembelih, mereka akan melihat
siapa penyembelih dan penjualnya. Itu merupakan kriteria utama sebelum
kriteria lain
Dalam keadaan demikian, apabila kita membicarakan
tentang bisnes atau produk pemakanan, maka orang Islamlah yang menguasainya.
Orang bukan Islampun boleh membelinya kerana perkara dan syarat-syarat di
dalam agama Islam tidak menghalang mereka daripada melanggan, membeli
ataupun menggunanya.
Justeru, dalam bidang pemakanan, ekonomi orang Melayu
terbukti kuat dan utuh. Ini adalah kerana orang Melayu dan Islam sendiri
yang memberi keutamaan dalam melanggan dan membelinya untuk kegunaan, di
samping yakin ianya adalah halal.
Hari ini, apabila orang kita berniaga produk makanan,
terutama yang perlu dibungkus, ditinkan dan yang tahan lama (sudah tentu
termasuk restoran juga), apa lagi untuk
pasaran yang lebih luas, pelanggan dari kalangan kita sendiri mulai
mempersoalkan.
Di mana logo halalnya? Benarkah barangan keluaran
muslim ini halal? Begitu banyak persoalan dikemukakan terhadap keluaran
orang Islam atau bumiputera walaupun sebelum isu logo ini direka dan
dikomoditikan, barangan muslim tidak bermasalah untuk dipasarkan.
Bahkan dalam satu diskusi dengan beberapa peniaga
kecil, ramai pula yang berpendapat bahawa sekarang industri ini sudah jauh
diterobos oleh orang bukan Islam. Katanya, kita hanya juara dalam
mengeluarkan logo, tetapi yang banyak menikmati manfaatnya bukan orang kita,
juga bukan peniaga dan
industri kecil.
Dalam keadaan kita mengeluar dan menghantar produk
yang berlogo halal ke luar negara, pada masa sama juga segelintir pengeluar produk ini
menguasai pasaran tempatan yang dulunya dikuasai oleh orang-orang Islam.
Hal ini berlaku khususnya apabila kebergantungan
mendapatkan bekalan isirumah tertumpu ke pasaraya dan hipermarket. Demikian
diberitakan oleh seorang teman yang mulai akhir-akhir ini lebih suka membeli
barangan keluaran koperasi muslim.
Walaupun berita ingin mempercepatkan proses
mengeluarkan halal yang disampaikan semalam (laporan Berita Harian) baik,
namun ianya tidak mencukupi.
Rentetan dari itu, kita sekali lagi menyeru supaya
pihak berkenaan mempermudahkan pengeluaran sijil halal, kurangkan karenah
birokrasi dan utamakan orang Islam dalam pemberian sijil halal.
Ramai rakan-rakan juga menyarankan agar GMP itu tidak
menjadi syarat utama ataupun, JAKIM harus membuat kategori sijil halal,
iaitu untuk syarikat GMP dan juga bukan GMP.
Demikian juga penggunaan sistem online tidak harus
menjadi syarat utama dan wajib. Cara manual juga harus diteruskan bagi
memudahkan sebahagian peniaga yang sukar akses menerusi online. Jika tidak,
sebahagian lagi masyarakat peniaga yang tercicir.
Kita semua percaya, kalau sekadar ingin
mempercepatkan proses pengeluaran logo halal, ia tidak akan menyelesaikan
masalah. Ia tidak akan membantu peniaga dan pemilik industri kecil (demikian
juga restoran-restoran) yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan
Islam.
No comments:
Post a Comment