Meskipun baru saja membicarakan isu,
nampaknya isu ini berbangkit-bangkit tak kesudahan.
Baru saja dua hari yang lalu,
seorang pelanggan bertanya kepada seorang jurujual produk, "Mana logo
halalnya?"
Terpinga-pinga jurujual itu untuk menjawabnya. Yang dia tahu, produknya
dibuat oleh seorang muslim, bahan-bahannya juga tidak masuk dalam kategori
haram (sekadar tepung dan gula sahaja), tetapi bila dibungkus dan nak dijual,
itu pula masalahnya.
Mengapa produk muslim yang selama ini terjamin dari segi
bersih, elok buatannya, tiada unsur-unsur meragukan, tiba-tiba dipersoalkan
hanya kerana tiada logo "Halal". Apakah kini, logonya yang menentukan halal
haram, ataukah bahan-bahan dan cara-cara buatannya?
Inilah polemik yang
tidak berkesudahan selepas pengenalan logo halal dan dipopularkan oleh pihak
berkenaan kepada orang luar. Tidak kurang banyaknya ialah penyalahgunaan logo
halal di premis dan pengeluar bukan Islam dalam produk yang dikeluarkan.
Sementara peniaga Melayu, baik
pengeluar IKS (Industri Kecil Sederhana) maupun Syarikat persendirian ataupun
penjual kuih yang sekadar mendapat lesen perniagaan dan lesen Majlis Daerah
berada dalam dilema kerana barangan yang selama ini dijual dengan mudah tetapi
kini dipersoalkan pula oleh orang yang bermata "Logo Halal".
Semalam konsultan kami baru
selesai berborak dengan tiga daripada empat penyanyi kumpulan nasyid popular
tanah air. Ahli kumpulan Mestica itu banyak membicarakan tentang peranan
kumpulan nasyid dalam menyampaikan dakwah.
Apabila membicarakan
mengenai logo halal, merekapun turut menyatakan rasa kecewa terhadap natijah
pengenalan logo halal. Ini adalah kerana pelaksanaannya tidak mengutamakan orang
Islam dan tidak dipermudahkan.
Tidakkah di dalam surah Al-Insyirah,
Allah s.w.t. menyatakan supaya kita "mempermudahkan dan jangan menyusahkan."?
"Setahu saya, orang yang
menyarankan supaya diletakkan syarat agar kilang yang memohon sijil halal itu
mesti mempunyai sijil GMP terlebih dahulu juga bukannya datang daripada orang
Islam."
Mendengar keterangan
itu, kami menjadi lagi hairan dan aneh. Mengapa tidak? Kan yang mengeluarkan
sijil halal itu JAKIM. Jadi mengapa urusan pengeluaran itu diperketatkan? Kalau
ia diperketatkan kepada pengeluar atau pengusaha bukan Islam tentulah munasabah.
Tetapi mengapa orang-orang Islam menjadi mangsanya?
Hari ini pula, kami telah melawat sebuah perusahaan pengeluaran kerepek di sebuah
perkampungan di Banting. Perusahaan Kerepek Tradisional itu diusahakan oleh Puan
Hajah Yaumi bt Parijan.
Bahagian kilang dan pembungkusan di Perusahaan Kerepek Tradisional, Labohan Dagang. | ||
Haji Sadeli sedang
meluahkan rasa kecewanya dengan peraturan-peraturan JAKIM yang
menyusahkan peniaga kecil-kecilan Islam sendiri.
|
Di sini, isu yang sama
dibangkitkan. Kata suaminya, Tn Hj Sadeli, ada pelanggan yang suka sangat
bertanya mengenai logo halal keluarannya. Sebelum logo ini dijaja oleh pihak
berkenaan, tiada orang persoalkan kehalalannya, tetapi bila logo halal
diperkenalkan, ia menjadi masalah pula.
"Apakah gula, garam dan
kerepek juga hendak dipersoalkan tentang halalnya?" soalnya dengan nada tidak
puas hati.
Sambil itu beliau memberi
air minuman keluarannya yang ada tiga logo, tetapi logo Halal dan GMP sahaja
yang tak ada. Konsultan lami minum air itu dan memangnya ia lazat, sihat dan
memuaskan.
Kata kami, "
Saya yakin produk tuan ini halal. Saya harap semua orang berfikiran seperti saya.
Dan kita sama-sama harus memilihnya sekalipun tiada logo halal."
"Inilah cara terbaik kita
bantu rakan niaga kita. Jika kita kenal siapa saudara Islam kita, kita tahu
barang apa halal dan haram dan bila kita tahu ia diproseskan mengikut cara yang
betul dan pemiliknya orang Islam, mengapa kita harus meraguinya lagi?"
Keduanya berkongsi
pandangan mengenai isu logo di samping cuba melihat cara terbaik bagi
menyedarkan masyarakat kita yang sudah jadi "fobia terhadap logo", sedang di
pasaraya hampir 90% produk yang dipasarkan yang berlogo halal bukannya milik
pengusaha muslim.
Kami turut
menyarankan supaya beliau membincangkan perkara ini dalam kesatuan
peniaga-peniaga Muslim. Saranan harus dikemukakan kepada badan berkenaan yang
selama ini terlepas pandang atau cuai dalam membela nasib peniaga Islam.
Pihak yang berkenaan harus
mempunyai prosedur yang lebih baik supaya logo halal itu bukan menjadi logo
keistimewaan pengusaha jutawan semata-mata.
Mereka harus memikirkan
kembali kriteria pemberian logo dan jenis-jenis logo. Mungkin ada logo halal
buat kilang GMP, ada logo halal untuk kilang tanpa GMP dan harus ada juga logo
halal untuk pengusaha muslim biasa.
Kami juga menyarankan
supaya suara-suara tuntutan dibuat seperti kesatuan CUEPACS, yang mana dengan
cara rundingan dengan pihak berkenaan CUEPACS telah berjaya membawa Perdana
Menteri sendiri turun padang dan meluluskan tuntutan mereka.
Kami percaya logo "Halal" ini
tidak wajar dijadikan sebagai suatu komoditi bagi pihak berkenaan memperoleh
wang ataupun dikenali orang. Jenama dan wang ringgit tidak harus menjadi
matlamat pihak berkenaan.
No comments:
Post a Comment