SEDANG MENIKMATI BURGER DAGING RUSA
D-ezam belum terlewat
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
PENGALAMAN adalah ilmu yang sangat berharga pada setiap orang dan
tidak boleh ditukar ganti meskipun dengan wang ringgit. Pengalaman yang
ada jika pandai dimanfaatkan, boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk
dan cara.
Kata-kata ini sesuai ditujukan buat penyanyi baru bernama Saiful
Nizam Jahari atau D-ezam, 38, yang berasal dari Pandamaran, Klang.
Selepas menimba pengalaman bergaul dengan artis, dia akhirnya tampil
dengan album sulung menggunakan modal sendiri.
“Klang banyak melahirkan artis seperti Budak Kacamata, Screen dan
ramai lagi. Saya rapat dengan Gmie Screen dan suka ‘jamming’ di studio
miliknya. Dari situ, saya banyak timba ilmu dalam teknik nyanyian.
“Kerap
juga saya ikut mereka buat persembahan pada hujung minggu. Saya memang
teringin buat album ketika itu, tapi disebabkan terikat dengan kerja,
hasrat itu dipendamkan dulu.
“Selepas beberapa ketika, saya ambil keputusan berhenti kerja dan
buat bisnes sendiri. Namun, impian untuk buat album tak pernah padam
dan saya sanggup kumpul modal sendiri untuk tujuan ini.
“Saya tak pernah mengalah untuk menjadikan impian saya sebagai
kenyataan. Dalam pencarian inilah, saya berjumpa dengan Syaiful Bahrim
Ahmad Dolbar (DJ Pool) dan komposer Rosli Ahmad yang sanggup menerbitkan
album saya.
“Mereka beri kepercayaan untuk saya menghasilkan
single pertama berjudul Hanya Wajahmu yang dicipta oleh Rosli manakala
lirik ditulis oleh Rosli dan DJ Pool. Bahkan album pertama saya juga
sudah disiapkan,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita.
Tampil
dengan konsep balada rock, D-ezam yang bernaung di bawah pengurusan
Screaming Fat Lady, merakamkan lagu di RACC Studio milik Rosli dan
Warisan Studio. Dia yakin percubaan pertamanya membuahkan hasil.
“Kalau
kita lihat, konsep balada rock sering dibawakan oleh kumpulan terdahulu
dan mereka masih diterima sehingga sekarang. Walaupun banyak
persaingan, saya percaya peminat masih menggemari konsep lagu ini.
“Saya
buat eksperimen dengan menyanyikan lagu berkonsep balada rock moden dan
harapnya diterima oleh peminat. Saya percaya mereka bijak menilai lagu
yang sedap tanpa memandang pakej lain.
“Dulu pun kumpulan rock
bukannya ada rupa sangat, tapi lagu mereka tetap disukai dan kekal
bertahan sehingga sekarang. Saya juga rasa tak terlambat menyanyi kerana
saya tampilkan bakat dan keistimewaan sendiri untuk peminat.
“Alhamdulillah
Rosli bagi kepercayaan untuk saya menyanyikan lagu yang sedap ini dan
sekarang ia mula diputarkan di stesen radio. Malah, saya banyak
membuat sesi promosi album dengan menjelajah stesen radio di seluruh
negara.
“Terbaru, saya buat promosi album di Sarawak dan membuat
persembahan di Victoria Arms, Hotel Merdeka pada 7 Julai ini. Turut
buat persembahan ialah P.O.O.L dan diiringi oleh persembahan
Masterpiece.
“Peminat boleh hadir menyaksikan gandingan kami
dengan dikenakan bayaran masuk yang rendah. Kami pasti mereka
berpuashati nanti kerana memberikan persembahan terbaik,” katanya yang
akan tampil dengan album penuh selepas Hari Raya Aidilfitri.
D-ezam
yang turut berpengalaman sebagai pengacara sambilan untuk majlis
kahwin, hari jadi dan banyak lagi tidak meletakkan harapan di luar
jangkaan terhadap albumnya. Dia menyerahkan segala-galanya kepada
peminat untuk menilai.
“Apapun saya puas dengan apa yang dicapai
walaupun terpaksa ambil masa yang lama untuk terbitkan album ini. Syukur
ada juga rezeki saya untuk melihat album sendiri menemui peminat. Album
saya mengandungi lagu rancak, balada dan ketuhanan.
“Saya juga
memuatkan lima lagu saya dalam laman sosial facebook D Ezam Dezam
sebagai promosi awal. Tapi ia bukan dimainkan sepenuhnya,” katanya yang
sering disalah anggap sebagai Bandi Amuk dan Ameng Spring di kalangan
peminat.